3/03/2008

Lina Joy

Lina Joy, Apa Yang Kita Sambut? Satu Rujuk Silang dari Sejarah Islam

PUTRAJAYA, 30 Mei (Hrkh) - TERKINI: Akhirnya, keputusan majoriti hakim 2:1 menolak permohonan Azlina Jailani untuk membuang status agamanya daripada kad pengenalan beliau.Ketua Hakim Negara, Fairuz Sheikh Abdul Halim bersama seorang lagi hakim Alauddin Mohd Sheriff mengetepikan permohonan Azlina, yang lebih popular dengan nama Lina Joy, manakala seorang lagi hakim, Richard Malanjun membenarkan permohonan tersebut.Keputusan yang ditunggu-tunggu itu disambut dengan gemuruh takbir oleh lebih 500 umat Islam yang hadir sejak awal pagi di perkarangan Mahkamah Persekutuan, dekat sini.Demikian keputusan awal yang saya petik dari harakahdaily.net, kebetulan saya juga menerima mesej dari teman pengarang Khairun Nasriah memaklumkan berita tersebut. Dan Nisah yang kebetulan juga (sebelum memasak untuk makan tengahari) sempat berbual dengan saya secara on-line mengenai hal ini. Memang berdebar-debar menanti Tun Dato' Sri Ahmad Fairuz bin Dato' Sheikh Abdul Halim, Dato' Alauddin bin Dato' Mohd. Sheriff dan Dato' Richard Malanjum membuat keputusan.Saya akan meninggalkan persoalan undang-undang kepada mereka yang mahir. Itu bidang mereka berdua. Baca blog Nisah, beliau mengupas hal ini dari segi undang-undang.Tetapi saya mengajak saudara semua merenung satu kejadian murtad ketika zaman Khalifah Abu Bakar yang telah memberi implikasi buruk terhadap sekolah pemikiran sebahagian besar umat Islam dewasa ini, berlanjutan dari apa yang baginda lakukan.Saya merujuk kepada peristiwa murtadnya Asy'ats bin Qays al-Kindi dan penyesalan Khalifah Abu Bakar kerana mengampunkannya.Siapakah beliau?Nama aslinya Ma'di Karib, namun kerana rambutnya yang keras tercacak dia dinamai Asy'ats. Mata sebelahnya telah buta tatkala perang Yarmuk. Setelah ditangkap kerana murtad dan membunuh ramai orang Islam waktu itu, Asy'ats dibawa ke Madinah. Sekali lagi Asy'ats memeluk Islam dan Khalifah Abu Bakar telah mengahwinkan Asy'ats dengan adiknya Umm Farwah Abi Quhafah (yang telah dua kali janda dengan al-Azdi dan Tamim ad Darimi). Umm Farwah juga buta sebelah mata. Setelah berkahwin, Ma'di atau Asy'ats telah melelas dan membunuh banyak unta di pasar Madinah dengan cara melibas kaki unta, sambil berseru, "Hai penduduk Madinah, makanlah, hai pemilik unta ambillah wangnya dan hari ini serupa hari raya Kurban."(Lihat Thabari, dalam Tarikh jilid 3 halaman 286 atau al-Isti'ab pada jilid 1, halaman 51, dan untuk lebih kuat lihat Ibn Atsir dalam al Kamil jilid 2 halaman 160, termasuk al-Ishabah jilid 1 halaman 51, juga jilid 3 halaman 630, semuanya rujukan yang terjamin dari sumber sunni)Asy'ats bin Qais al-Kindi dianggap oleh Muhamad Abduh sebagai munafik setaraf dengan Abdullah bin Ubai bin Salul. Setelah kewafatan Rasulullah saww, beliau memimpin pemberontakan di kawasan Hadralmaut, sehingga dikepung oleh tentera Khalifah Abu Bakar dalam benteng an-Nujair.Asy'ats sesungguhnya merupakan api dalam sekam, diriwayatkan oleh Hujur bin Adi; Asy'ats adalah perencana pembunuhan Saidina Ali di mana konspirasi jahatnya dengan lelaki puak khawarij Ibnu Muljam berlaku di satu penjuru masjid. Ibn Muljam adalah pembunuh menantu dan waris Rasulullah saww iaitu Saidina Ali.Keturunannya pula terkenal sebagai keturunan pembunuh ahlul bait. Dari perkahwinannya dengan Umm Farwah (adik Khalifah Abu Bakar), anak perempuannya Ja'dah binti Asy'ats telah meracun Saidina Hasan (cucu Nabi Muhammad saww) atas satu konspirasi dengan pemerintah waktu itu. Anak lelakinya, Muhamad bin Asy'ats pula terkenal sebagai pembelot kepada wakil Saidina Husein di Kufah iaitu Muslim bin Aqil dan antara pemain penting membuatkan Saidina Husein dibunuh di Karbala sehingga kepala cucu Rasulullah saww itu terpenggal.Dan usah hairan, namanya termuat sebagai antara orang yang meriwayatkan hadis oleh Bukhari, Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, an Nasa'ei dan Ibnu Majah.Khalifah Abu Bakar sebelum meninggal dunia ada menyatakan kepada sahabatnya Abdurrahman bin Auf terdapat (1) tiga hal yang dilakukannya tetapi tidak harus dilakukan (laitani kuntu taraktu hunna) (2) tiga hal yang tidak dilakukannya tetapi sepatutnya dia melakukannya (laitani kuntu fa'altu hunna)Tiga hal yang dilakukannya tetapi tidak harus dilakukan:a. Tidak menyerbu rumah Saidatina Fatimah, anak perempuan Rasulullah saww setelah kewafatan baginda Rasul. Penyerbuan itu menyebabkan Saidatina Fatimah amat murka sekali.b. Tidak membakar seorang lelaki murtad Fuja'ah as Silmi, sebaliknya membunuh si murtad itu dengan cara yang ditetapkan Islam (hukuman bakar tidak ada dalilnya dalam mana-mana nas).c. Ingin meminta samada Umar atau Abu Ubaidah menjadi khalifah di Saqifah tatkala Nabi Muhammad saww belum lagi dikebumikan (hal ini menunjukkan Khalifah Abu Bakar sendiri tidak yakin kepada kepimpinannya apakah ia dengan nas atau ijtihad syura yang tidak ada kaedah jelas bagaimana melakukannya). Tiga hal yang tidak dilakukannya tetapi sepatutnya dia melakukannya:a. Seharusnya membunuh Asy'ats bin Qais dan tidak membiarkannya hidup. (oh alangkah jika Khalifah Abu Bakar mengetahui apa yang dilakukannya di kemudian hari!)b. Seharusnya mengirim Khalid bin Walid ke Syam dan Umar bin Khattab ke Iraq sebagai gabenor (hal ini kerana Abu Bakar mengakui kesilapan tidak menghukum Khalid bin Walid yang telah membunuh secara tidak benar Malik bin Nuwairah dan Khalid telah bertindak berlebih-lebihan dengan membakar orang murtad dari kaum Banu Salim).c. Seharusnya bertanya kepada Rasulullah saww siapakah yang layak memimpin ummah, apakah kaum Ansar juga layak memimpin ummah, (yang menunjukkan Khalifah Abu Bakar meragui kekhalifahannya sendiri) serta seharusnya bertanyakan apakah Saidatina Fatimah berhak mendapat tanah Fadak yang telah dinafikan sebagai warisan Rasulullah saww kepada puterinya.(Lihat Abu Ubaid dalam al-Amwal, halaman 131, Thabari dalam Tarikhnya yang terkenal itu pada jilid 4, halaman 52, juga pada Ibnu Qutaibah dalam al Imamah wa s Siyasah, jilid 1, halaman 18, pda Mas'udi dalam Murjud adz Dzahab jilid 1, halaman 414, pada Ibnu Abd Rabbih, dalam Iqd al-Farid jilid 2 halaman 254, di mana semua perawinya adalah tsiqah)Akan tetapi ijtihad-ijtihad silap Khalifah Abu Bakar ketika pemerintahannya yang kemudian disesalinya ini (dan ijtihad silap dalam pemerintahan-pemerintahan yang seterusnya) telah 'disahkan' dengan satu adagium fikah yang terkenal: Orang yang berijtihad kalau benar dapat pahala dua dan kalau salah dapat pahala satu. Satu kaedah yang terpakai hingga kini dan menyebabkan banyak kontradiksi dan kekeliruan berlaku. Orang misalnya menyangka pembunuhan ke atas Saidina Husein misalnya satu ijtihad atau ada kumpulan pembenci ahlul bait yang melihat pembunuhan ke atas Saidina Ali sebagai satu ijtihad yang dapat pahala melakukannya (sedangkan dalam kes pembunuhan ke atas Khalifah Usman, menurut mereka, adalah satu hal yang tidak adil.)Kembali kepada kes mutakhir, apakah yang dimaksudkan dengan murtad? Bagaimana sikap kita?Lihat ayat al-Quran surah al-Baqarah ayat 217:"Mereka mempersoalkan kepadamu tentang berperang dalam bulan haram. Jawablah, 'Berperang dalam bulan itu adalah dosa yang besar. Tapi lebih besar (dosanya) menurut Allah menghalangi orang dari jalan-Nya, dan mengingkari-Nya (menghalangi orang masuk Masjidil Haram)', Dan mengusir penghuninya dari sekitarnya. Fitnah itu lebih jahat dari pembunuhan. Dan tiada mereka berhenti memerangi kamu, sebelum mereka memurtadkan (yaruddu) kamu dari agamamu. Sekiranya mereka mampu (melakukannya). Dan barang siapa di antara kamu murtad (yartadidu) dari agamanya lalu mati dalam kekafiran, merekalah orang yang amalnya sia-sia di dunia dan akhirat. Mereka penghuni-penghuni api neraka. Mereka tinggal di dalamnya selama-lamanya."Imam mazhab ahlus sunnah wal jamaah menggarishitamkan polisi kita terhadap orang murtad:Imam Abu Hanifah:'Paling sedikit seorang yang murtad harus diberi waktu 3 hari'.Imam Malik:'Seorang yang murtad, hamba atau orang merdeka, lelaki atau perempuan, sejak waktu ia terbukti murtad, ia harus dapat makanan dan tidak boleh disiksa'.Imam Syafie:'Seorang murtad, lelaki dan perempuan, harus dihormati, sebab dia sebelumnya adalah muslim. Beberapa orang mengatakan agar ia diberi waktu selama 3 hari.'Imam Hanbali:'Orang murtad, lelaki dan perempuan dewasa, dan tidak gila hendaknya diajak ke dalam Islam dalam 3 hari.'Baca lebih lanjut mengenai persoalan riddah dari sekolah pemikiran ahlus sunnah wal jamaah di sini. Penyesalan Khalifah Abu Bakar wajar kita renungi. Hal ini juga menunjukkan mengekori sahabat belum terjamin ada kebenarannya kerana baginda khalifah sendiri menukilkan rasa kesal atas pelbagai 'kecuaian' yang dilakukannya.Yang pasti ialah mengikut ahlul bait yang telah disucikan dari segala kesilapan, kenistaan dan kesalahan seperti tertera dalam surah al-Ahzab ayat 33, kita terjamin berada dalam jalur yang benar Insya-Allah. Kita tak perlu melatah dalam hal ini sebaliknya mengambil pendekatan Khalifah Abu Bakar iaitu muhasabah diri. * Insya-Allah sebuah novel terbaru saya mengenai persoalan murtad dan pluralisme akan diterbitkan tidak lama lagi. Persoalan murtad akan dikupas secara mendalam berdasarkan pelbagai sekolah pemikiran. Moga-moga memberi sumbangan kepada satu lagi penambahan maklumat mengenai hal ini kelak. Doakanlah ia sempat menemui pembaca segera.** Murtad tetap murtad, Lina Joy telah murtad. Isunya bukan 'tidak ada kebebasan beragama' tetapi ialah Lina harus mengikut saluran yang betul untuk murtad. Setelah 9 tahun, kalau Lina menghadap mahkamah syariah, hakim di sana pun tak akan tahan dia untuk murtad, dia mungkin ada diberi 3 hari untuk memikir, dan kemudian dia boleh 'joy' di dunia yang sementara ini.

1 ulasan:

mat_api berkata...

ak xbaca hbs lg...
tp ak trs bagi komen..haha

Rumusannya..
kte mesti tegakkan agama islam di muka bumi selagi kte bernyawa..

Takbir!!!!Hidup PAS n PKR